Wednesday, July 8, 2009

Pemuda Dedah Maklumat Peralihan Sokongan Pengundi Muda Pas Di Manik Urai


Manik Urai - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin hari ini mendedahkan terdapat segolongan pengundi muda yang dahulunya menyokong Pas akan mengalihkan sokongan mereka kali ini kepada Barisan Nasional (BN) di Manik Urai.

Jelasnya ini merupakan satu perkembangan yang serius di kalangan penyokong muda Pas yang mempunyai hubungkait terhadap kekecewaan mereka kepada calon yang ditampilkan serta krisis kempimpinan yang berlaku dalam Pas."Dari maklumat yang saya terima, saya telah dapat banyak permintaan daripada penyokong Pas untuk sama ada masuk menyertai UMNO atau secara senyap menyokong calon UMNO.

".....dan ini adalah perkembangan yang penting yang saya dapat tahu dari dua, tiga hari yang lepas ini kerana penerimaan mereka pengundi-pengundi muda yang dulu sokong Pas kepada calon dan isu kebelakangan ini yang melibatkan Pas, menggugat sedikit sebanyak sokongan golongan muda ini kepada Pas", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan jentera Pemuda BN di Pusat Operasi Barisan Nasional DUN Manik Urai di sini, Isnin petang.

Jelas beliau lagi pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan golongan berkenaan untuk mendapatkan kepastian sama ada mereka mahu menyertai terus UMNO atau sekadar memberi sokongan dalam bentuk undi.

Mengenai kemungkinan perkara ini hanyalah taktik lakonan pengundi Pas, beliau berkata Pemuda akan membuat kaji selidik berhubung perkara itu.

"Kita tengah kaji betul-betul sama ada perkara ini betul atau tidak. Golongan ini ada kaitan dengan krisis kepimpinan dalam Pas", ujarnya.

Sumber : www.pemuda.com.my

No comments:

Post a Comment