Monday, August 31, 2009

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke 52 Tahun

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

Salam Kemerdekaan Dari Ketua Pemuda, Barisan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Rimba Terjun.

1 Malaysia,
Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan...

Sunday, August 23, 2009

Bangkitlah Wahai Bangsaku

SEJAK beberapa bulan kebelakangan ini, Raja-raja Melayu tidak berhenti bersuara dalam hal melibatkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.

Terbaru Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan tentang tujuh wasiat Raja Melayu. Ia diikuti Sultan Kedah yang mahu kontrak sosial dipertahankan bagi mengelakkan negara ditimpa huru- hara. Beberapa hari selepas itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terpaksa campur tangan menolak cadangan kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu mahu menggunakan wang zakat untuk tujuan pembangunan semua

Semua Raja Melayu dari Perlis hingga ke Johor telah melahirkan pandangan dan penegasan agar rakyat tidak meruntuhkan asas kenegaraan yang berpaksikan sejarah, tamadun dan masyarakat Melayu itu sendiri.

Malah sebahagian raja Melayu makin lantang mempertahankan kepentingan Melayu. Belum pernah berlaku dalam sejarah Raja-raja Melayu ke hadapan dan secara konsisten menjadi benteng melindungi perlembagaan. Ini semua berlaku kerana sesungguhnya juga belum pernah berlaku kedudukan Melayu, agama Islam dan institusi raja dicabar sebegini dahsyat oleh pergerakan politik bukan Melayu tertentu dengan dibantu oleh pengkhianat Melayu yang mahu berkuasa.

Kebiadapan terhadap Islam, raja dan Melayu makin menjadi-jadi yang tidak boleh dibiarkan. Setakat ini tiada seorang pun pemimpin pembangkang yang tampil memohon maaf terhadap banyak penderhakaan yang turut mereka cetuskan sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. Bibit-bibit ke arah negara republik sudah bermula.

Maka apa yang disuarakan oleh Raja-raja Melayu mempunyai mesej tersendiri bahawa Melayu perlu bangkit bersatu dan lebih yakin dalam menghadapi persekitaran politik yang makin membahayakan.

Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Kami Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Semoga Beroleh Keampunan Dari Allah S.W.T.

Tuesday, August 18, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir Bermula

Rombongan Barisan Nasional (BN) mula bergerak ke pusat penamaan calon diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama calon BN, Rohaizat Othman, dan pemimpin Umno serta BN lain.

Calon Pas, Salleh Man diiringi ribuan penyokong pakatan pembangkang tiba di pekarangan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini kira-kira pukul 8 pagi.

Salleh diiringi beberapa pemimpin parti pembangkang antaranya Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saturday, August 15, 2009

Peguam Pilihan BN Calon DUN Permatang Pasir

Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Pemilihan Rohaizat diumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN di Taman Bukit Merah di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tuesday, August 11, 2009

Pilihanraya DUN Permatang Pasir

PUTRAJAYA 10 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 17 Ogos ini manakala hari pengundian pada 25 Ogos. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, penetapan tarikh pilihan raya kecil itu yang jatuh pada bulan Ramadan iaitu hari Selasa adalah tidak dapat dielakkan.

''Kita membuat penentuan dengan lebih cepat kerana kita akan hadapi bulan puasa, selepas itu Hari Raya Aidilfitri sedangkan tarikh akhir kita adalah 29 September.''Kita hendak selesaikan segera dalam bulan puasa, lagi pun pada masa itu adalah cuti sekolah,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama anggota suruhanjaya itu di sini hari ini.

Pilihan Raya Kecil N11 itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman akibat sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Sunday, August 9, 2009

Masyarakat berbilang kaum merupakan kekuatan Malaysia - PM

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Penduduk Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum merupakan kekuatan dan kelebihan yang ada pada negara yang dapat memacu negara ke tahap lebih tinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata oleh yang demikian, masyarakat berbilang kaum tidak wajar dilihat sebagai satu liabiliti atau kelemahan.
“Ini akan memberi kelebihan kepada kita jika kita melihatnya daripada konteks positif. Masyarakat berbilang kaum kita adalah satu realiti politik. Ia adalah keunikan Malaysia,” katanya dalam ucapan kepada kira-kira 6,000 pengunjung yang membanjiri karnival 1Malaysia yang diadakan di Batu Caves di sini. - Bernama

Friday, August 7, 2009

Wasiat Raja-Raja Melayu


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

  • Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  • Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
  • Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
  • Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Tuesday, August 4, 2009

Singapura Puji Langkah PDRM Tangani Perhimpunan Haram

SEPANG 4 Ogos – Kerajaan Singapura memuji pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan perhimpunan haram, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.Menurut beliau, Singapura menyifatkan cara Polis Malaysia menangani perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Sabtu lalu sebagai profesional kerana tidak menggunakan kekerasan fizikal.
Beliau baru pulang dari Singapura setelah menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang Singapura daripada Presiden republik itu, S. R Nathan pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sunday, August 2, 2009

Anwar, Hadi dicari polis kes sertai demo anti-ISA

Polis ingin menyiasat 11 individu termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perhimpunan 20,000 orang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur sepanjang petang ini.

Selain tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh, pemimpin kanan lain dalam Pakatan Rakyat yang akan turut disiasat: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar;Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali,Ahli parlimen PKR Batu, Tian Chua; Ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu;ahli parlimen PKR Machang, Saifuddin Nasution Ismail;Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

Saturday, August 1, 2009

Tindakan Biadap GMI, Pembangkang






KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kira-kira 200 orang yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ditahan di sekitar ibu negara sehingga pukul 4 petang ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.Beliau memberitahu Bernama bahawa keadaan di ibu kota buat masa ini terkawal.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman sebelum ini berkata, antara lokasi tangkapan ialah berhampiran Masjid Negara, Padang Merbok, Dataran Merdeka, Pasar Seni, Istana Negara, Masjid Jamek dan kompleks membeli belah Sogo.
Badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah undang-undang itu mengadakan perhimpunan di ibu negara hari ini bagi menyatakan pandangan mereka berhubung perkara itu.Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 10,000 orang yang menyertai perarakan Gerakan Mansuh ISA (GMI) itu.Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) yang sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan di Pasar Seni menyokong ISA dikekalkan, membatalkan perhimpunan mereka kerana akur dengan arahan.Jurucakap kumpulan itu Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata Pewaris hanya akan menghantar kira-kira 10 wakil untuk menyerahkan memorandum menyokong ISA kepada Yang di-Pertuan Agong.