Sunday, April 18, 2010

Pertandingan 4 Penjuru Di Hulu Selangor


Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung pada 25 April ini, bakal menyaksikan pertarungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Selain calon BN, P. Kamalanathan,44 dan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, 59, dua lagi calon yang disahkan layak untuk bertanding atas tiket Bebas ialah bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS. Chandran, 56 dan seorang peniaga, Johan Md.Diah, 31.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Norhisham Ahmad Dahalan ketika mengumumkan perkara itu berkata, tiada bantahan dikemukakan sepanjang proses penamaan berlangsung yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pukul 11 pagi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Sebelum itu, Zaid merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan iaitu pada pukul 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan pada pukul 9.30 pagi. Chandra pula menyerahkan borang itu pada pukul 9.34 pagi, sebelum diikuti oleh Johan kira-kira dua minit kemudian.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak. Dalam pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

No comments:

Post a Comment