Wednesday, November 11, 2009

Bai'ah PAS : Tinggalkan Parti,Tinggalkan Isteri


Bai'ah yang mentaklikkan isteri dengan talak tiga atas sebab politik seperti yang dilakukan oleh Pas tidak dibenarkan dalam syarak.

Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, bai'ah seumpama itu amat tidak munasabah selain melanggar etika dan moral kehidupan seorang Islam.

Ujarnya, setiap perkara berkaitan taklik atau talak sepatutnya hanya menyentuh soal kekeluargaan dan ia tidak seharusnya dikaitkan dengan perkara lain termasuk politik.

''Syarak tidak membenarkan kita berbai'ah dengan cara begini kerana perbuatan ini amat bertentangan dengan moral dan etika,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khamis lalu, Ahli Parlimen Pas Shah Alam, Khalid Samad telah mengesahkan wujudnya amalan bai'ah di kalangan calon wakil rakyat Pas bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.

Pendedahan itu mendapat tentangan ilmuwan Islam antaranya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan bahawa amalan bai'ah untuk kepentingan politik seperti dilaksanakan oleh pemimpin Pas adalah perbuatan yang menganiaya isteri sendiri.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut pula menyifatkan bai'ah seperti itu sebagai tidak bertamadun dan boleh menjatuhkan imej Islam.

Mengulas isu sama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta Majlis Fatwa Kebangsaan segera bermuzakarah dan membincangkan isu bai'ah talak tiga Pas.

Dalam pada itu, Ismail yang juga penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim sekali lagi menegaskan adalah tidak adil taklik dijadikan alat untuk berpolitik.

''Kebenaran untuk bertaklik hanya berkisar tentang hidup berkeluarga dan bukannya ada sebab lain,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment